Sunday, August 28, 2016

Kegagalan Mungkin Permulaan Kejayaan Anda

Kegagalan Itu Mungkin Satu Permulaan Kepada Kejayaan Anda

Antara produk terhebat keluaran Syarikat 3M adalah Post-It Note. Ia berasal daripada kajian saintisnya yang bernama Dr Spencer Silver pada tahun 1968. Kajian itu sebenarnya dilakukan untuk menghasilkan sejenis gam yang kuat untuk kegunaan industri aerospace. Ia sebaliknya "gagal" apabila produk yang terhasil adalah sejenis gam yang lemah yang tidak mampu melekat untuk jangka masa yang lama walaupun untuk mencantumkan helaian kertas.




Rupa-rupanya, produk itu membawa kepada inovasi baru apabila salah seorang daripada rakan saintis Syarikat 3M bernama Art Fry mendapati bahawa ia berguna sebagai penanda buku yang boleh ditanggalkan semula tanpa merosakkan buku tersebut.




Seterusnya, ia menjadi permulaan kepada sejarah kejayaan Syarikat 3M.

Bahkan ketika Syarikat 3M ditubuhkan pada tahun 1902, ia adalah singkatan kepada Minnesota Mining and Manufacturing Corporation. Pada mulanya, ia gagal sebagai sebuah syarikat perlombongan, namun, hasil inovasi pekerja-pekerjanya, ia hidup dan terus tersohor sehingga ke hari ini (2016). 

.

Rujukan: 

https://en.wikipedia.org/wiki/3M

http://www.todayifoundout.com/index.php/2011/11/post-it-notes-were-invented-by-accident/

Saturday, August 6, 2016

Pokemon Go Haram Kerana Kesan Buruknya


.

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan berpendapat, hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.
.
Baru-baru ini media alternatif menyiarkan berita bahawa permainan Pokemon Go difatwakan haram. Walaubagaimanapun, pejabat mufti menjelaskan sebenarnya berita "fatwa haram" tidak benar sebaliknya yang disebut adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam . Kenyataan sebenar berbunyi seperti berikut:
KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUANPada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah berbincang dan memutuskan bahawa permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas dan juga faktor maslahah dan kemudaratan yang berlaku. Justeru, diharap agar masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan tidak terlibat dalam aplikasi permainan tersebut.  

(Rujuk http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1116-bayan-linnas-siri-66-integriti-data-peribadi-dan-kesihatan-pemain-selamatkah-pokemon-go )

.
Berita yang disiarkan oleh Agensi BERNAMA adalah seperti berikut:

KUALA LUMPUR:Karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lepas.

"Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat, fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

"Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.

"Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku - pengintipan pihak luar; pencerobohan ruang peribadi; faktor keselamatan seperti kemalangan; kelalaian dan sebagainya," katanya lagi.

Zulkifli berkata, pihak jawatankuasa Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar masyarakat memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, serta tidak mempunyai usur khurafat. - BERNAMA
.

Thursday, August 4, 2016

Cara Untuk Gagal Bisnes: Hampakan Pelanggan


.
Flickr adalah sejenis rangkaian media sosial yang berteraskan perkongsian foto. Projek Flickr lahir secara kebetulan apabila dua orang pembangunnya, pasangan suami-isteri Stewart Butterfield dan Caterina Fake mahu mempromosikan perisian permainan mereka iaitu Game Neverending. Mereka kemudiannya menyedari bahawa potensi lebih besar ada pada Flickr berbanding Game Neverending. Bermula pada tahun 2003, projek ini mula berkembang dan menarik perhatian pengguna Internet. Pada ketika itu, ramai jurufoto profesional dan amatur menggunakan Flickr sebagai salah satu saluran promosi hasil kerja mereka. Akhirnya Flickr dibeli oleh Yahoo pada tahun 2005.

Pembelian ini sepatutnya menjadi pemangkin kepada dominasi Flickr di permulaan era Web 2.0 (Era di mana pengguna web mula berkongsi data dan pendapat di dalam rangkaian media sosial). Namun, ia tidak serancak yang dijangkakan.

Sebaik selesai proses pembelian, pasukan Flickr telah diarahkan untuk mengubahsuai sistem mereka agar ia disepadukan dengan sistem Yahoo yang bermakna setiap akaun Flickr mesti ditukarkan kepada akaun Yahoo. Hal ini memberi kelebihan kepada Yahoo tetapi hakikatnya ia dikritik oleh pengguna sedia ada. Isu ini berlanjutan hingga ke tahun 2007.

Pada masa yang sama Facebook turut menggalakkan perkongsian foto melalui rangkaiannya. Pengguna Facebook pula boleh mengaksesnya sambil mengekalkan akaun email masing-masing samada Gmail, Yahoo atau lain-lain. Isu kesepaduan sistem Yahoo telah membantutkan perkembangan sistem Flickr.

Pasukan Flickr juga tidak mempunyai kebebasan untuk mencipta inovasi sendiri. Mereka perlu mengikut arah yang ditunjukkan oleh Pengurusan Yahoo yang pada dasarnya mahukan semua sistem bermula dari portal Yahoo. Ketika dunia memasuki era smart phone dan mobile platform (seperti iOS dan Android), rangkaian media sosial popular seperti Facebook turut berlumba memasuki apps store namun hal sebaliknya berlaku pada Flickr.

Smart phone sebenarnya menyimpan potensi hebat untuk aplikasi perkongsian foto kerana ia sudah dilengkapi dengan peranti kamera. Potensi ini disingkap terlebih dahulu oleh Instagram pada tahun 2010. Malang lagi sekali, Flickr terlewat merealisasikan potensi ini.

Sebenarnya pasukan Flickr sedar tentang inovasi untuk keselesaan pengguna. Mereka tahu Flickr hidup kerana sokongan komuniti dan keperluan komuniti perlu diutamakan. Namun mereka terpaksa mengikut telunjuk Yahoo yang menjadi tuannya. Yahoo terutamanya, Jerry Yang (pengasasnya) dan kumpulan Corporate Development (CorpDev) dikritik oleh gizmodo.com kerana mengutamakan keuntungan berbanding komuniti pengguna.




Akibat perbezaan nilai antara pengasas dan pemegang sahamnya, produk yang pada awalnya seumpama bintang kecil itu menjadi malap dan pudar di dalam peredaran zaman.

Moral: Jangan hampakan pengguna. Sekali mereka berlalu pergi, sukar untuk mereka kembali semula.
.
Rujukan:
- http://gizmodo.com/5910223/how-yahoo-killed-flickr-and-lost-the-internet
- http://geofflivingston.com/2016/05/17/flickr-enters-downward-spiral/
- https://en.wikipedia.org/wiki/Flickr#cite_note-10

Wednesday, August 3, 2016

Yahoo dijual kepada Verizon


.
Yahoo jual perniagaan internetnya kepada verizon

Yahoo pernah suatu ketika menjadi Raja Internet bernilai USD125 Billion. pada waktu itu namanya sehebat nama Facebook atau Google pada hari ini. Kini namanya sudah dijual kepada Verizon.

Sejarah Yahoo bermula pada tahun 1994 dengan nama "Jerry's Guide to the World wide Web". Dikelolakan oleh Jerry Yang dan David Filo, laman ini menyenaraikan laman web yang menarik untuk dikunjungi oleh pengguna Internet. Ia berkembang dengan mendadak apabila rakyat Amerika mula menggunakan perkhidmatan Internet dan memerlukan tempat rujukan bagi mencari maklumat yang dikehendaki. Pada tahun 1996, ia memasuki penyenaraian awam dan menjadi salah sebuah syarikat yang masyhur di era dotcom ketika itu.

Perniagaan Yahoo mula merosot di era pasca 2000 terutama sekali apabila peranannya sebagai enjin carian web diambil alih oleh Google. Ketika google mula mencapahkan aktivitinya dengan menghasilkan Pelayar Web sendiri (Chrome) dan menjadi pendokong mobile platform (Android), Yahoo kelihatan terus kekal dengan konsep laman portalnya. Kini, apabila seluruh dunia memberi tumpuan kepada mobile platform dan smart phone, portal Yahoo bagai sudah tidak diperlukan lagi.

Mujur Yahoo pernah melabur sebanyak 1 Billion dalam perniagaan alibaba.com di china pada tahun 2005. Pelaburan ini mendatangkan pulangan yang baik kini dan mengatasi prestasi perniagaan portal Yahoo itu sendiri.

Yahoo telah cuba memperbaiki prestasinya dengan melantik bekas eksekutif Google, Marisa Mayer, sebagai CEO semenjak tahun 2012. Namun, Marisa tidak berupaya melonjakkan Yahoo sebaliknya terpaksa mengumumkan berita penjualan Yahoo pula kepada Verizon pada Julai 2016. Tamatlah kisah Yahoo sebagai jaguh carian Internet suatu ketika dahulu.

.